quote linkedin dugout

Previu dan Reviu Peminat

Video 1 Galeri Foto

England itu biru! Musim 2017/18 City mendominasi

FLYING HIGH: Manchester City Academy.

FLYING HIGH: Manchester City Academy.

Musim 2017/18 telah melabuhkan tirainya dengan penuh kegemilangan buat Manchester City selaku juara Liga Perdana Inggeris dan Carabao Cup serta deretan rekod baru tercipta.

Di musim pertama Pep Guardiola menggalas tugas sebagai pengurus Manchester City begitu tinggi jangkaan semua pihak. Namun apa yang terjadi? Buat pertama kali dalam karier pengurusan beliau, Guardiola menamatkan musim tanpa sebarang gelaran dan piala.

Kebolehan Guardiola mula dipersoalkan. Kata media dan penyokong lawan malah juga dari penyokong sendiri, “Cara Guardiola tidak sesuai untuk Liga Perdana Inggeris”. Tapi Guardiola berdegil. Tidak akan sekali-kali beliau akan beralih dari falsafah bola sepaknya, 'Bola sepak Indah' (Beautiful Football).

Dek kerana kedegilan Guardiola itu maka dapatlah kita menikmati antara gaya permainan paling mengasyikkan, paling menyeronokkan dan paling indah pernah disajikan oleh mana-mana pasukan.

Dua kejuaraan berjaya dimenangi City di musim kedua kendalian Guardiola; gelaran juara Liga Perdana Inggeris dan juara Piala Liga (Carabao Cup). Mungkin bukan kejayaan trebel tapi apa yang menjadikannya istimewa ialah bagaimana City mempamerkan dominasi menyeluruh dengan mencipta rekod demi rekod sepanjang musim 2017/18.

Buat julung kali City melakar nama sebagai juara pertama mencapai 100 mata dalam liga. Tidak pernah dalam sejarah liga teratas Inggeris ianya berjaya dilakukan. Apa yang lebih hebat lagi ialah bagaimana City mencapainya dalam gaya penuh drama. Jaringan saat akhir Gabriel Jesus kini akan diarkib bersama-sama gol Sergio Aguero (2011/12) dan Paul Dickov (1998/99) sebagai gol saat akhir yang membentuk sejarah moden Manchester City.

YOU BEAUTY!  City celebrate after the winning goal

Bahkan begitu banyak lagi rekod-rekod Liga Perdana yang berjaya dihancurkan City dalam perjalanan mereka sebagai juara. Sebanyak 32 kemenangan perlawanan dikumpul untuk mengatasi rekod Chelsea (30) dengan 16 daripadanya dicatat di laman lawan yang merupakan satu rekod baru melebihi 15 kemenangan milik Chelsea.

Jurang 19 mata di antara juara dan naib juara ialah yang tertinggi melepasi rekod Manchester United (18). Sebanyak 106 gol dijaringkan mengatasi rekod 103 gol Chelsea sekaligus mencatat perbezaan gol positif tertinggi iaitu 79 gol berbanding rekod 71 gol juga milik Chelsea sebelum ini.

Di suatu titik Manchester City mendominasi liga tanpa sebarang halangan. Dari awal musim City tidak mengalami sebarang kekalahan. Gembar-gembur City bakal mengulangi pencapaian “The Invincibles” Arsenal mula tampak realistik. Tapi sayang ianya dibantutkan oleh pasukan Liverpool di bulan Januari. Namun begitu 18 kemenangan berturut-turut sebelum itu sudah pun menjadi rekod baru liga menewaskan rekod 14 kemenangan oleh Arsenal.

BEHIND: Mo Salah wheels away after scoring Liverpool's fourth.

Manchester City juga begitu hampir menjadi juara liga terpantas dengan berbaki 6 perlawanan jika bukan kerana tertewas 2-3 kepada Manchester United. Ia hanya kekalahan kedua mereka dalam liga musim ini.

Sebagai penghias piala Liga Perdana, City turut memenangi gelaran juara Piala Liga (jangan terkeliru). Kedua-dua gelaran juara Liga Perdana dan Piala Liga ini ialah kejayaan ketiga kejohanan masing-masing di dalam era Sheikh Mansour. City menewaskan Arsenal dengan jaringan selesa 3-0 di perlawanan akhir untuk merangkul gelaran Piala Liga kelima dalam sejarah mereka untuk meletakkan nama mereka bersama-sama Chelsea, Aston Villa dan Manchester United.

WINNERS: City lift the trophy!

Arsenal pula terpaksa akur untuk bergelar naib juara buat kali keenam apabila City menguasai perlawanan secara menyeluruh. Lebih manis buat para penyokong City ialah kesemua gol dijaringkan oleh 3 pemain senior City; Sergio Aguero, Vincent Kompany dan David Silva. Begitu indah sekali.

Sayang sekali kejayaan City di dua pertandingan ini tidak tersebar ke Piala FA dan Liga Juara-Juara. City terus dihantui oleh pasukan momok mereka. Buat kali ketiga berturut-turut pasukan Wigan Athletic berjaya menewaskan City dalam kejohanan Piala FA. Jaringan tunggal Will Grigg sudah memadai untuk menendang City keluar di pusingan kelima.

DEJECTION: Aymeric Laporte gets back into position as Wigan celebrate.

Di musim ini, pasukan Liverpool merupakan satu-satunya pasukan yang dilihat boleh menandingi kehebatan City dari segi taktikal. City yang ditemukan dengan juara Eropah lima kali itu di pusingan suku akhir Liga Juara-Juara ternyata gagal menandingi pengalaman Liverpool di kejohanan tersebut apabila tewas di kedua-dua perlawanan suku akhir.

Namun kegagalan City di Piala FA dan Liga Juara-Juara tidak boleh menidakkan bagaimana Manchester City kini merupakan kuasa bola sepak yang digeruni di bawah telunjuk Pep Guardiola. Kejayaan sebagai Juara Abad adalah buktinya kerana untuk mengumpul 100 mata di dalam kejohanan liga Eropah paling kompetitif ialah satu pencapaian yang tak tercapai dek akal.

 

Semua kelemahan musim lepas sudah ditangani Guardiola. Kelonggaran di gawang oleh Claudio Bravo diselesaikan dengan membawa masuk Ederson dari Benfica. Bukan sekadar tangkas menangkap bola, Ederson juga memiliki kawalan kaki yang sangat bagus untuk selesa menerima hantaran bola ke kaki dan melakukan hantaran tepat kepada rakan-rakan. Jika tidak memulakan gerakan dari belakang, Ederson juga memiliki tendangan yang kuat untuk menghantar bola jauh ke hadapan. Seyogia Ederson memegang rekod dunia Guiness dengan tendangan bola jatuh paling jauh (75.35m).

Kyle Walker, Danilo dan Benjamin Mendy dibawa masuk untuk menggantikan pemain-pemain berusia seperti Pablo Zabaleta, Bacary Sagna, Aleksandar Kolarov dan Gael Clichy. Posisi yang dahulunya satu liabiliti kini menjadi aset dalam gerakan serangan.

Keputusan Guardiola membeli hanya seorang bek kiri hampir memakan diri apabila Mendy terpaksa berehat panjang. Namun tersembunyi suatu hikmah besar di sebaliknya. Dalam perlawanan menentang Chelsea yang merupakan perlawanan pilihan Guardiola musim ini, beliau menemui permata tersembunyi dalam Fabian Delph yang diturunkan sebagai bek kiri.

Image result for fabian delph city v chelsea

Delph sebelum ini dilihat hanya sebagai pemanas bangku simpanan dan pelengkap kuota pemain tempatan tapi kejayaan beliau memainkan peranan “bek terbalik” menjadi antara ramuan utama dalam resipi kejayaan City musim ini.

Kunci utama pasukan Guardiola sentiasa berada di bahagian tengah dan pemain yang menjadi pilihan Guardiola untuk membawa kunci tersebut ialah Kevin De Bruyne. De Bruyne yang sebelum ini lebih dikenali sebagai pemain tengah menyerang dan gemar mengisi posisi no. 10 diubah Guardiola menjadi pemain tengah yang lebih sempurna.

Image result for de bruyne silva

Tidak kira di mana De Bruyne bermain beliau akan mencari jalan membuka kunci pertahanan lawan dengan hantaran-hantaran tepat. Malah beliau bergandingan dengan David Silva bergilir-gilir bertukar posisi sesama sendiri untuk membentuk pasangan duo “8 Bebas” di bahagian tengah. Silva menjadi pakar ruang sempit dan hantaran halus manakala De Bruyne menguasai perlawanan dari jauh dan bermain secara lebih langsung.

Begitu besar sekali pengaruh De Bruyne kepada permainan City musim ini sehinggakan jika bukan kerana Mohamed Salah dan gol-golnya maka sudah pasti anugerah Pemain Terbaik Musim ini jatuh ke tangan beliau. Mujurlah ada Anugerah Playmaker yang baru diperkenalkan untuk mengiktiraf 16 bantuan gol De Bruyne dalam Liga Perdana musim ini.

Image result for de bruyne playmaker

Gandingan tiga serangkai City di bahagian serangan sememangnya amat digeruni. Pecutan Leroy Sane sangat ditakuti pihak lawan dan dari bahagian sayap beliau telah mencipta begitu banyak bantuan gol. Jumlah 10 jaringan dan 15 bantuan gol di persada liga sudah cukup melayakkan Sane untuk dinobatkan sebagai Pemain Muda Terbaik Musim.

Raheem Sterling pula menamatkan musim dengan pulangan gol tertinggi dalam karier beliau. Begitu hebat sekali transformasi Sterling di bawah Guardiola apabila 23 gol berjaya dijaringkan Sterling dalam kesemua pertandingan musim ini berbanding rekod terbanyak hanya 11 gol di musim-musim sebelum.

Tidak akan lengkap jentera serangan City jika nama Sergio Aguero tidak disertakan. Buat musim keempat berturut-turut Aguero menamatkan musim dengan 20 gol atau lebih di Liga Perdana. Namun agak mengejutkan jika diberitahu inilah kali pertama Aguero dimasukkan dalam senarai Pasukan Terbaik Musim.

Dengan 30 jaringan gol Aguero musim ini telah mengangkat beliau sebagai penjaring gol sepanjang zaman Manchester City dan menamatkan rekod 78 tahun milik Eric Brook (177 gol). Cuma sayang sekali rekod Aguero terhenti di angka 199 gol. Harap-harap Aguero terus berada di Manchester musim hadapan untuk melepasi aras 200.

Begitulah hebatnya perjalanan Manchester City musim ini. Adakah di musim-musim hadapan City boleh pergi jauh lagi? Dengan berita gembira Guardiola melanjutkan kontrak sehingga 2021 segalanya boleh terjadi. Cukup sampai di sini, musim hadapan kita mulakan lagi. Sehingga itu, England itu biru!

Image result for guardiola premier league trophy

Buat Peminat

Selamat Tahun Baru Cina 中国农历新年快乐 Gong Xi Fa Cai

Berita Kelab Peminat

MCM jalin kerjasama dengan Football Republic

Special Features

Bukan Semua Tentang Bola: Antara bola dan cinta