quote linkedin dugout

Previu dan Reviu Peminat

Video 1 Galeri Foto

Cabaran sebenar bermula...

Era Pep Guardiola di Manchester City telah bermula dan revolusinya tampak jelas meremajakan skuad dengan kedatangan para pemain baru yang muda belia.

Semasa dalam lawatan ke Stadium Etihad baru-baru ini, penulis melewati satu lorong yang dipenuhi dengan gambar foto bekas pemain City, Micah Richards yang menunjukkan pencapaian beliau semenjak di bangku akademi sehinggalah ke kemuncak karier menjulang piala Liga Perdana Inggeris. Beliau menjadi simbol kepada kejayaan pembangunan pemain muda di City.

Namun sebenarnya sudah agak lama kita sebagai peminat City merindui saat-saat menonton kelibat pemain seperti Micah Richards, Shaun Wright-Phillips, Michael Johnson, Stephen Ireland dan Joey Barton meningkat usia dan matang bersama pasukan. Dalam pasukan sekarang hanya tinggal nama Joe Hart dan Vincent Kompany sebagai simbol legasi pemain mentah yang berjaya digilap bakatnya sehingga menjadi bintang dunia di Manchester City.

Bintang-bintang masa depan

Selepas sementara waktu mengamalkan polisi membeli pemain bintang yang sudah terbukti keupayaan mereka, kini City kembali kepada mod membeli pemain muda. Lima pemain dari 8 pembelian di musim panas ini berusia 22 tahun dan ke bawah. Leroy Sane (20), John Stones (22), Marlos Moreno (19), Oleksandr Zinchenko (19) dan Gabriel Jesus (19) adalah nama-nama pemain berbakat besar untuk menjadi pemain hebat di masa hadapan.

Dari akademi CFA pula nama-nama seperti Angelino, Tosin Adarabioyo, Pablo Maffeo, Aleix Garcia, Manu Garcia, Bersant Celina dan Angus Gunn hanya menunggu masa dan peluang untuk merebut kerusi skuad utama Pep Guardiola. Mereka ini akan menyertai Raheem Sterling, Kelechi Iheanacho dan Jason Denayer membawa panji-panji generasi baharu Manchester City.

Bahkan cubalah anda bina sebuah skuad menggunakan pemain-pemain ini. Boleh tahan juga kekuatan skuad itu malahan mungkin boleh memberi cabaran kepada pasukan senior kelab lain. Lagipun ungkapan “Anda tidak boleh menang apa-apa dengan budak-budak” yang diujar Alan Hansen sudah lama dibuktikan tidak benar oleh Manchester United lebih 20 tahun yang lalu.

Pep Guardiola vs David Moyes

Cukup dengan keterujaan tentang masa depan Manchester City. Mari kita kembali ke bumi nyata dan lihat previu perlawanan sulung City untuk musim Liga Perdana Inggeris 2016/17. Lawan yang menanti City Sabtu ini nanti ialah Sunderland bersama pengurus baru mereka, David Moyes. Rekod City menentang Sunderland kelihatan baik untuk pasukan tuan rumah dengan 5 perlawanan terakhir di antara mereka dimenangi City. 

Namun perlu diingatkan David Moyes turut mencatat rekod yang baik berdepan City. Biarpun beliau tewas kedua-dua perlawanan derbi Manchester ketika mengurus United, rekod beliau ketika bersama Everton adalah lebih baik dengan 12 kemenangan, 4 seri dan 6 kekalahan.

Tiada jangkaan perubahan besar dalam skuad Sunderland kerana mereka tidak begitu aktif dalam sesi perpindahan musim panas ini. Setakat ini mereka hanya membuat satu pembelian iaitu pemain pertahanan dari pasukan Chelsea, Papy Djilobodji. Ancaman utama mereka adalah daripada penyerang veteran yang masih berbisa, Jermaine Defoe yang merupakan penjaring gol terbanyak mereka musim lepas.

Defoe dan Sunderland tidak boleh dipandang rendah kerana City mungkin mengalami sedikit masalah di bahagian pertahanan dan  gol. Berdasarkan perlawanan pramusim, Guardiola banyak bereksperimen dengan pemain di posisi pertahanan dengan Fernando dan Kolarov dimainkan di posisi itu dalam perlawanan persahabatan baru-baru ini menentang Arsenal. 

Siapa pilihan Pep?

Walaupun Guardiola sudah menyatakan mereka tidak akan bermain posisi itu namun masih agak sukar untuk meneka gandingan siapakah yang akan menjadi pilihan. Berdasarkan pengalaman Eliaquim Mangala dan Nicolas Otamendi adalah gandingan terkuat tetapi Guardiola bukanlah peminat terbesar Mangala dengan pemain itu dikaitkan dengan perpindahan ke Valencia. Otamendi pula menunggu ujian kecergasan akibat kecederaan otot tendon.

Kini tinggallah 3 pilihan pemain iaitu Stones yang baru sahaja menyertai pasukan beberapa hari, Denayer yang menyatakan beliau agak kecewa dengan kekurangan peluang beraksi di City dan Adarabioyo yang masih mentah. Di bahagian penjaga gol pula Joe Hart masih nampak kekok untuk memenuhi tuntutan gaya permainan Guardiola dengan Willy Caballero kelihatan lebih meyakinkan di dalam siri perlawanan pramusim. Jadi jangan terkejut jika Guardiola memilih Caballero untuk perlawanan Sabtu nanti.

Ilkay Gundogan yang masih cedera memberi peluang kepada Fabian Delph untuk terus membuktikan keupayaan beliau kepada Guardiola selepas persembahan bertenaga semasa menentang Arsenal tempohari. Mungkin beliau akan bersama Fernandinho dan David Silva membentuk rangkaian di bahagian tengah sentral.

Aksi debut

Pep telah menegaskan yang Stones kemungkinan akan beraksi berikutan cukup cergas setelah bermain dalam siri perlawanan persahabatan bersama Everton semasa pramusim dan telah mula berlatih bersama skuad sejak menandatangani perjanjian Selasa lalu.

Namun para peminat terpaksa menyimpan hasrat untuk melihat aksi sulung sensasi muda dari Jerman, Leroy Sane kerana beliau mengalami sedikit masalah hamstring. Kevin De Bruyne masih belum cergas sepenuhnya untuk beraksi jadi jangkakan posisi sayap kanan diisi oleh Raheem Sterling dan pemain baru, Nolito akan beraksi di sayap kiri untuk mengapit Sergio Aguero di bahagian serangan.

Dengan kekuatan skuad Guardiola saya menjangka kemenangan akan menjadi milik City berkeputusan 3-0. Berikut adalah skuad pilihan saya Sabtu ini. Bagaimana pilihan anda pula?

* Perlawanan akan berlangsung jam 5.30 petang Sabtu , 12 Ogos waktu UK bersamaan pukul 12.30 pagi Ahad waktu Malaysia. Siaran langsung akan ke udara di saluran Astro 816/834 HD dan liputan langsung perlawanan boleh diikuti di akaun Twitter rasmi Bahasa Melayu di @ManCityMAS

Bacaan lanjut:

Previu Pep Guardiola: Saya mahukan pemain bermain sepenuh jiwa lawan Sunderland, klik di sini.

Bersua kembali: Rekod pertemuan lalu dengan Sunderland, perlawanan yang sukar dan patut dilupakan, klik di sini.

Galeri Foto: Debut terindah, meninjau penampilan pertama para pemain baru City lalu, klik di sini.

Video latihan persiapan akhir lawan Sunderland, klik di sini.

Video latihan pertama John Stones bersama skuad, klik di sini.

Video wawancara pertama bersama John Stones, dengan sarikata Bahasa Melayu, klik di sini.

Previu dan Reviu Peminat

Revolusi Pep kini bermula!

Manchester City akan memulakan siri perlawanan pramusim dengan Pep Guardiola kembali ke laman lamanya menentang bekas pasukan, Bayern Munich pada hari Rabu, 20 Julai.

Blog Peminat

Bulan Biru: Selamat Datang Pep!

Wawancara Peminat

Belasungkawa: Yus Jambu (1976-2015)

Berita kematian penghibur dan pelawak terkenal tanahair, Yus Jambu atau nama sebenarnya Yussry bin Edoo telah mengejutkan kita semua dan terasa satu kehilangan besar.

Wawancara terakhir bersama duta selebiriti Manchester Malaysia pada 28 Mac 2015 sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir pada 30 November 2015... Al Fatihah.