quote linkedin dugout

Previu dan Reviu Peminat

Video 1 Galeri Foto

United vs City: Pedang bertemu perisai

Derbi Manchester edisi ke-172 Sabtu ini akan menjadi medan pertemuan semula dua seteru pemikir taktikal bola sepak terhebat era moden, Pep Guardiola dan Jose Mourinho.

Kedua-dua pengurus tersebut sepatutnya bertembung dalam derbi Manchester buat pertama kali semasa perlawanan pramusim di China Julai lalu dalam kejohanan International Champions Cup 2016 namun terpaksa dibatalkan kerana cuaca buruk.

Menghampiri perlawanan Sabtu ini kedua-dua pengurus membawa rekod kemenangan 100% di dalam Liga Perdana Inggeris musim ini. Siapa yang akan berjaya mengatasi siapa, atau mereka akan berkongsi mata? Pemenang perlawanan akan menduduki takhta liga dan jika kedua-dua seri, Chelsea pula bakal menangguk di air yang keruh untuk melonjak ke puncak.

Image result for rooney and kompany

Rekod Pertemuan Pep vs Jose

Sepintas lalu rekod pertemuan di antara kedua-dua pengurus ini dimenangi Guardiola. Daripada 16 perlawanan, 7 dimenangi Guardiola dan hanya 3 dimenangi Mourinho. Tujuh kemenangan ini termasuk kemenangan terbesar Guardiola dalam pertembungan El Classico pertama menentang Mourinho apabila Barca membelasah Real Madrid 5-0 pada November 2010.

Seterusnya Guardiola turut menewaskan pasukan Mourinho di separuh akhir Liga-Liga Juara Eropah 2010/11 dalam perjalanan mereka bergelar juara dan di pusingan akhir Piala Super Sepanyol 2011/12.

Namun Mourinho sering mendakwa 3 kemenangan beliau juga sama besar maknanya. Semasa bersama Inter Milan, Mourinho tewas 2 kali kepada Guardiola tetapi kemenangan tunggal yang beliau perolehi telah membawa Inter ke pentas akhir Liga Juara-Juara Eropah dan seterusnya merangkul kejuaraan tersebut.

Image result for mourinho pep

Kali kedua beliau menewaskan Guardiola adalah di perlawanan akhir Copa Del Rey 2010/11 dan kali terakhir adalah dalam perlawanan liga yang menjarakkan jurang mata di antara mereka pada akhir-akhir musim 2011/12 sebelum Real dinobatkan juara dengan 9 mata di hadapan Barcelona. Di akhir musim tersebut Guardiola pun meletakkan jawatan sebagai pengurus Barcelona.

Insiden panas tidak pernah lekang daripada pertembungan di antara 2 pengurus ini. Pernah dalam 5 perlawanan berturut-turut pasukan Mourinho menamatkan permainan dengan 10 pemain apabila bertemu dengan pasukan Guardiola. 

Berbalas kata adalah biasa di antara mereka sehinggakan mereka merujuk sesama mereka dengan nama pertama dan bukannya nama keluarga. Insiden hangat paling diingati semestinya apabila Mourinho mencucuk mata mendiang Tito Vilanova ketika perlawanan kedua Piala Super Sepanyol yang dimenangi Barcelona.

Image result for mourinho pep

Begitu hebat perselisihan Guardiola dan Mourinho sehinggakan siapa yang boleh menyangka mereka sebenarnya pernah bekerja bersama. Di antara tahun 1996-2000 mereka bersama-sama di bawah Louis Van Gaal semasa di Barcelona. Guardiola sebagai pemain dan Mourinho sebagai salah seorang jurulatih. Dari situlah kedua-dua insan ini mendapat acuan yang membentuk falsafah taktikal bolasepak masing-masing.

Sama Tapi Berbeza

Secara umum dilihat 2 pengurus ini berada di atas 2 landasan taktikal yang berbeza. Guardiola dengan pendekatan menyerangnya dan Mourinho pula bersama gaya lebih bertahan. Sebenarnya mereka berdua ini boleh dibaratkan seperti 2 muka berbeza di atas duit syiling yang sama atau seperti 2 buah berbeza yang berputik dari pohon yang sama. 

Image result for pep guardiola johan cruyff

Kedua-dua Guardiola dan Mourinho banyak terdedah kepada falsafah bolasepak Johan Cruyff yang menjadi tunjang bolasepak Barcelona. Permainan (Play), Posesi (Possesion) dan Posisi (Positioning) yang menjadi 3P dalam taktikal Guardiola menjadi bukti betapa kuatnya pengaruh Cruyff kepada Guardiola. Mourinho pula adalah berbeza. 

Louis Van Gaal pernah mengulas berkenaan falsafah Mourinho, “Beliau lebih percaya kepada bertahan daripada menyerang. Falsafah saya adalah – saya percaya kami mesti menghiburkan penonton – untuk bermain secara menyerang.

Image result for van gaal mourinho

Falsafah beliau adalah untuk menang! Di situlah perbezaannya.” Jika Cruyff berpegang kepada, “Saya lebih rela menang 5-4 berbanding 1-0” maka Mourinho adalah sebaliknya. Jadi tidak hairanlah apabila melihat Guardiola memilih formasi asas 4-3-3 dan Mourinho pula dengan 4-2-3-1 kesukaan beliau.

Tiga perlawanan terakhir derbi Manchester gagal dimenangi City. Jadi demi merampas kembali hak berlagak dan juga mengekalkan rekod 100% Liga Inggeris maka wajiblah Guardiola menyediakan pasukan terkuat beliau untuk bertemu pasukan Mourinho.

Kekuatan Pasukan

Menjelang derbi pertama musim ini kedua-dua pasukan bakal kehilangan beberapa tenaga kerja. Di bahagian United, Henrikh Mkhitaryan, dan Luke Shaw mungkin terpaksa direhatkan kerana kecederaan. Antonio Valencia pula walaupun tidak tercedera tetapi hanya akan terbang kembali ke Manchester pada hari Jumaat kerana komitmen perlawanan antarabangsa. 

City pula mungkin melihat kehilangan Bacary Sagna yang tercedera di bahagian hamstring sambil terus menanti berita kecergasan Leroy Sane dan Ilkay Gundogan yang dijangka tampil buat pertama kali, sementara Vincent Kompany untuk kembali beraksi selepas berehat panjang akibat kecederaan.

Image result for squad manchester city 2016/17

Di samping pemain-pemain ini, kehilangan yang pasti dan semestinya dirasai peminat ialah Sergio Aguero yang menjalani hukuman gantung 3 perlawanan selepas didakwa menyiku lawan. Namun Guardiola mungkin tidak begitu runsing untuk mencari pengganti kerana begitu ramai calon pemain yang boleh mengisi posisi Aguero itu. 

Kelechi Iheanacho, Nolito dan Raheem Sterling masing-masing berkebolehan bermain sebagai penyerang tengah. Memandangkan Iheanacho adalah satu-satunya pemain yang bermain sebagai penyerang secara semulajadi maka mungkin beliau yang akan diturunkan Sabtu ini. 

Image result for kelechi manchester city 2016/17

Lebih-lebih lagi selepas menjaringkan gol menakjubkan untuk pasukan kebangsaan Nigeria baru-baru ini dalam kemenangan 1-0 ke atas Tanzania, kelayakan Piala Negara-Negara Afrika . Ataupun jika mahu Guardiola boleh meminta mereka bertiga bergilir-gilir mengisi posisi itu sepanjang perlawanan.

Dua muka baharu di bahagian pertahanan masing-masing akan cuba membuktikan kehebatan mereka dalam perlawanan berprofil tinggi pertama mereka, John Stones untuk City dan Eric Bailly untuk United. Adakah Stones mampu meneutralkan ancaman Zlatan Ibrahimovic seperti yang dilakukan Eliaquim Mangala musim lepas? 

Ujian Sebenar

Eric Bailly yang dipuji oleh peminat United pula akan berhadapan dengan skuad yang lebih berkualiti berbanding Bournemouth, Southampton dan Hull City. Peminat akan dapat melihat perbezaan bagaimana 2 pengurus ini memainkan pertahanan mereka. Guardiola yang gemar melibatkan pemain pertahanan dalam pergerakan pasukan dan Mourinho yang meminimumkan penglibatan mereka.

Image result for pogba fellaini mourinho

Pertandingan di bahagian tengah nanti pasti akan menarik perhatian kerana adanya Paul Pogba. Di antara gabungan Paul Pogba-Marouane Fellaini-Wayne Rooney dan Fernandinho-David Silva-Kevin De Bruyne, siapakah yang akan berkuasa di bahagian tengah? 

Adakah betul keputusan City membuang minat dan melepaskan pemain termahal dunia itu kepada seteru setempat mereka?

Image result for claudio bravo city

Dan peminat City akan buat pertama kali akan melihat kelibat baharu di gawang mereka dengan kehadiran Claudio Bravo selepas sekian lama terbiasa dengan Joe Hart. Bersama Bravo kali ini Guardiola boleh melaksanakan ‘permainan dari bawah’ yang diidamkan beliau selama ini secara sempurna. 

Bravo akan menggalas tanggungjawab besar untuk perlawanan debut beliau lebih-lebih lagi apabila berhadapan ancaman terkuat United dalam bentuk Ibrahimovic si penyerang baru United dan juga Rooney penjaring terbanyak derbi Manchester.

Antara buku dan ruas

Kesinambungan perang Guardiola-Mourinho sentiasa dinanti-nantikan oleh para peminat bola sepak dunia. Jika Cruyff itu dianggap seperti seorang tukang pedang maka Guardiola adalah anak murid yang berusaha membuat pedang yang lebih tajam dan Mourinho adalah anak murid yang mahu membuat perisai sempurna untuk melawan pedang Cruyff. Jadi antara pedang dan perisai, yang manakah akan menang nanti?

Ramalan Bulan Biru: United (1) – City (3). Berikut adalah jangkaan formasi pemain penulis.

Sementara itu Leroy Sane dalam wawancara khas bersama wakil media City berkata yang beliau kini bersedia dan tak sabar beraksi untuk City buat pertama kali semasa bertandang di Old Trafford menentang Man United Sabtu ini. Baca temubual khas bersama beliau di pautan ini.

Untuk lokasi 'gathering' derbi Manchester anjuran Kumpulan Peminat Manchester City Malaysia (MCM), sila klik di pautan ini untuk maklumat lanjut lokasi dan wakil untuk dihubungi.

* Perlawanan akan berlangsung pada hari Sabtu, 10 September jam 12:30 tengahari waktu UK bersamaan pukul 7.30 malam waktu tempatan Malaysia. Siaran langsung akan ke udara di saluran Astro 816/834 HD. Liputan langsung perlawanan dari Old Trafford boleh diikuti di akaun Twitter rasmi Bahasa Melayu/Malaysia di@ManCityMAS.


Berita Kelab Peminat

Derbi Manchester: Senarai 'gathering' di Malaysia

Manchester City akan bertemu buat kali ke-172 dengan kelab jiran, Manchester United, Sabtu 10 September. Para penyokong Manchester biru di tanahair berpeluang berkumpul menonton perlawanan untuk memberi sokongan dari jauh bersama-sama.

Peraduan dan Kuiz

Peraduan: Keranamu City...

Bersempena ulangtahun kemerdekaan ke-59 dan Hari Malaysia ke-53 kami ingin memberi anda peluang memenangi hadiah sehelai jersi laman sendiri City dengan cetakan nama Sergio Agüero.

Previu dan Reviu Peminat

Meredah angin Britannia

Otamendi

City terus mengorak langkah meneruskan cabaran Liga Perdana Inggeris dengan bertandang di laman sukar, Stadium Britannia menentang Stoke pada tengahari Sabtu.