quote linkedin dugout

Previu dan Reviu Peminat

Video 1 Galeri Foto

Pertemuan semula rakan seperguruan

pep koeman

pep koeman

Kunjungan Everton ke Stadium Etihad Sabtu ini akan mempertemukan kembali anak didik Johan Cruyff dan dua bekas pemain dari 'Pasukan Impian' Barcelona.

Sebelum berehat untuk laluan saingan kelayakan Piala Dunia lalu Manchester City terpaksa mengharung 4 perlawanan di tempat lawan. Selepas 10 kemenangan berturutan akhirnya kemaraan City tersekat di 2 perlawanan terakhir yang tidak dimenangi City. Justeru Stadium Etihad adalah pentas terbaik untuk City kembali mencari rentak mereka.

Image result for city v everton 2016

City akan menyambung cabaran Liga Perdana Inggeris dengan melayan rombongan pasukan di tangga ke-5 Liga Perdana Inggeris , Everton yang hanya berbeza 4 mata dengan City. Biarpun Everton gagal memenangi 2 perlawanan Liga Perdana terakhir mereka, perolehan 14 mata dalam 7 perlawanan pertama adalah pencapaian permulaan musim terbaik mereka dalam tempoh sedekad.

Langsung tidak mengejutkan kerana sebenarnya orang yang mengurus kelab Everton ini hampir serupa falsafah bolasepaknya dengan Pep Guardiola. Pertembungan ini akan menjadi pertemuan sulung di antara Pep Guardiola dan Ronald Koeman sebagai pengurus. 

Namun ia juga adalah pertemuan semula di antara mereka kerana Guardiola dan Koeman pernah bermain bersama di Barcelona (1990-95) dan mereka juga adalah antara pemain yang membentuk Skuad Impian (Dream Team) Barcelona 1991/92. Guardiola yang berusia lebih muda malah mengganggap Koeman sebagai pangkat abang yang juga merupakan rakan sebilik semasa di Camp Nou.

Image result for pep guardiola and ronald koeman

Kedua-dua pengurus ini mendukung tradisi falsafah Barcajax (Barcelona-Ajax) yang mereka peroleh di bawah tunjuk ajar mendiang Johan Cruyff. Bahkan seperti Guardiola yang gemarkan permainan dari bawah, Koeman yang dahulunya bermain di bahagian pertahanan juga gemarkan pendekatan yang serupa. Nampaknya pertembungan kali ini adalah seperti buku bertemu ruas.

Selain pertemuan semula 2 rakan sepasukan itu, perlawanan ini juga akan menyaksikan pemain pertahanan City, John Stones berdepan dengan bekas pasukannya itu buat kali pertama dan di pasukan Everton pula peminat City akan menyambut kembali bekas pemain Gareth Barry yang baharu sahaja dinobatkan dalam Rekod Dunia Guinness sebagai pemain bermula paling banyak di Liga Perdana Inggeris (580 permulaan).

Image result for gareth barry v man city

Sejarah pertemuan akhir-akhir ini lebih memihak kepada City yang tidak tewas kepada Everton dalam 6 perlawanan terakhir mereka (menang 4, seri 2). Statistik ini mungkin boleh memberi sedikit keyakinan kepada para peminat menjelang perlawanan Sabtu ini.

Ini kerana berita kecederaan Bacary Sagna yang terpaksa berehat selama 3 minggu mendedahkan kepincangan pasukan City di bahagian bek kanan. Hanya ada satu pilihan nyata di posisi itu iaitu Pablo Zabaleta namun seperti yang dilihat dalam 2 perlawanan terakhir City, persembahan Zabaleta boleh dipersoalkan dan agak membimbangkan lebih-lebih bila bakal berdepan dengan pemain pantas Everton seperti Yannick Bolasie. Adakah Guardiola berani menurunkan Pablo Maffeo di posisi itu?

Image result for kevin de bruyne 2016/17

Mujurlah berita lain berkenaan perkembangan kecederaan skuad City adalah lebih menggembirakan. Sergio Aguero cukup cergas untuk bermain dan Kevin De Bruyne pula dikhabarkan pulih lebih awal dari yang disangka namun De Bruyne mungkin akan hanya diturunkan sebagai pemain gantian sebagai simpanan untuk perlawanan menentang Barcelona hari Rabu nanti.

Nolito juga sudah boleh kembali bermain selepas digantung perlawanan dan dengan persembahan hangat bersama Sepanyol akan membawa elemen bahaya di bahagian sayap kiri. Manakala di sayap kanan Guardiola mungkin akan memberi peluang kepada Leroy Sane untuk mempamerkan bakat beliau sementara ketiadaan Raheem Sterling yang belum cergas sepenuhnya.

Image result for lukaku v man city

Everton pula menanti berita kecergasan Romelu Lukaku yang tercedera semasa bermain untuk Belgium dan jika penjaring terbanyak Everton itu tidak diturunkan Sabtu maka pertahanan City bolehlah menarik nafas lega.

Dengan kedua-dua pasukan mahu mencari semula rentak kemenangan maka boleh dijangkakan perlawanan yang terbuka bakal dimainkan. Tambahan pula kedua-dua pengurus memainkan pendekatan yang serupa. Ramalan Bulan Biru: City 2 – Everton 0.

Ramalan formasi pemain..

Perlawanan akan berlangsung jam 3 petang waktu UK bersamaan pukul 10 malam waktu tempatan Malaysia. Siaran langsung akan ke udara di saluran Astro 816/834 HD. Seperti biasa ikuti liputan langsung perlawanan di akaun Twitter kami @ManCityMAS.

Bacaan lanjut:

Sidang media Pep Guardiola yang mengkhabarkan Kevin De Bruyne dapat beraksi dan mendedahkan pengalamannya bersama bos Everton, Ronald Koeman semasa di Barcelona. Baca selanjutnya di pautan ini.

Previu Sergio Aguero yang menyasarkan City kembali di laluan kemenangan menentang Everton dan menambah bilangan golnya. Baca selanjutnya di sini.

Lihat galeri persiapan skuad menjelang pertemuan dengan Everton di sini.

Saksikan video seleksi lima pertemuan terbaik kedua-dua pasukan, City lawan Everton di pautan ini.

Berita Kelab Peminat

Gelombang Manchester biru di Malaysia

Pada 10 September lalu telah berlangsung derbi Manchester ke-172 di mana kemenangan telah berpihak kepada Manchester biru 2-1 di Old Trafford yang kejayaannya turut diraikan oleh para penyokong City di tanahair.

Previu dan Reviu Peminat

Siapa akan dapat hentikan keretapi laju City?

Manchester City yang dipacu Pep Guardiola meneruskan larian kemenangan mereka musim ini dengan '10 Sempurna’ selepas kemenangan berganda ke atas Swansea minggu lalu. Kini dua perlawanan menanti, menentang Celtic dan Tottenham Hotspur untuk sasaran rekod seterusnya.

Peraduan dan Kuiz

Hadiah teristimewa dari Agüero