quote linkedin dugout

Previu dan Reviu Peminat

Video 1 Galeri Foto

Revolusi Pep kini bermula!

Manchester City akan memulakan siri perlawanan pramusim dengan Pep Guardiola kembali ke laman lamanya menentang bekas pasukan, Bayern Munich pada hari Rabu, 20 Julai.

Justeru itu, para peminat City bolehlah menjamu mata menonton gambaran awal Manchester City yang baharu di bawah era Pep Guardiola dan cubaan 'eksperimen' pengurus yang diiktiraf antara terbaik dunia dengan ramuan di medan baru bola sepak Inggeris selepas mencipta nama di Sepanyol dan Jerman.

Tidak pernah terduga oleh Pep, tugasan pertamanya mengendalikan pasukan barunya adalah menentang bekas anak- anak buahnya sendiri dalam tempoh begitu cepat selepas hanya beberapa bulan lalu beliau mengucapkan selamat tinggal kepada kelab beliau berkesperimen di Bundesliga.

Pep terkenal dengan hubungan erat dengan para pemainnya sepanjang tiga musim dan membantu Bayern kekal sebagai kelab sukar digugat di Jerman, dan menjadi antara kelab gergasi Eropah sebagaimana dilakukannya di Nou Camp bersama FC Barcelona di tempat kelahirannya, Catalunya.

Apa yang pasti para pemain dan penyokong Bayern akan tetap menghormatinya dan kembalinya Pep selepas majlis perpisahan yang turut menyaksikan linangan airmata beberapa bulan lalu masih segar di benak mereka.

Dengan musim baru Liga Perdana Inggeris 2016/17 hanya tinggal beberapa minggu lagi dan selepas Jerman City akan terbang ke China dalam kejohanan International Champions Cup menentang Manchester United dan Borussia Dortmund, diikuti pertemuan dengan Arsenal di Sweden untuk penutup pramusim. Ia merupakan persiapan yang cukup rapi sebagai persediaan City di bawa revolusi Pep untuk mengorak langkah seterusnya.

Untuk musim baharu nanti City sudah menambah beberapa pemain tetapi hanya dua yang sudah pasti akan bermain di dalam skuad utama; Ilkay Gundogan dan Nolito. Gundogan adalah pembelian pertama Guardiola. 

Semestinya Guardiola sudah mempunyai perancangan tentang di mana hendak meletakkan Gundogan dalam formasi dan peranan beliau dalam pasukan. City yang sanggup membeli Gundogan yang mengalami kecederaan tempoh panjang membuktikan betapa besarnya peranan yang akan dibawa di dalam taktikal Guardiola.


Gundogan dibeli kerana keupayaan beliau membuat hantaran. Untuk musim 2015/16 beliau mencapai 88% dalam ketepatan membuat hantaran. Namun apa yang lebih penting ialah 69% daripada hantaran beliau itu adalah hantaran ke hadapan. Ini adalah petunjuk yang Gundogan adalah pemain yang memiliki visi yang baik dan sangat sesuai bertindak sebagai pemula serangan pasukan.

Berdasarkan pengamatan ke atas taktikal Guardiola ketika bersama Barcelona dan Bayern Munich, Gundogan akan menghuni posisi tengah sentral dan membawa peranan sebagai pivot tunggal. Tidak kiralah dalam formasi 4-3-3 (Barcelona) atau 4-1-4-1 (Bayern Munich), pivot tunggal dalam taktikal Guardiola membawa fungsi yang sama; menerima bola sebaik merampas bola lawan dan kemudian membuat hantaran kepada jentera serangan. 

Semasa di Barcelona Guardiola menggunakan Sergio Busquets sebagai pivot tunggal manakala semasa di Bayern Munich beliau cuba bereksperimen dengan Toni Kroos, Philip Lahm dan Xabi Alonso.

Jadi kita nantikan bersama bagaimana Gundogan mengisi peranan yang menjadi antara asas tunjang gaya permainan Guardiola. Besar sekali tanggungjawab yang bakal menanti Gundogan. Masakan tidak Guardiola sendiri membawa peranan itu semasa di bawah didikan mendiang Johan Cruyff.

Jika Gundogan dibawa masuk untuk menguasai bahagian tengah sentral maka Nolito pula masuk untuk memperkasakan bahagian sayap dan serangan City. Pada umur 29 tahun, Nolito boleh dilihat sebagai agak berusia namun pulangan gol beliau yang konsisten dalam 3 musim bersama Celta Vigo tidak boleh di pandang enteng. Sebanyak 14 gol di musim pertama, 13 gol di musim kedua dan 12 gol di musim 2015/16. 

Lagipun ini bukanlah kali pertama Nolito bermain di bawah kendalian Guardiola. Nolito yang merupakan hasil skuad akademi Barcelona B pernah bermain dalam skuad Guardiola ketika musim 2010/11. Jadi Guardiola sememangnya mengetahui kebolehan Nolito.

Nolito akan menghuni sayap kiri yang sebelum ini menjadi hak eksklusif Raheem Sterling. Sterling yang sedang dilanda kritikan hebat mungkin memerlukan sedikit ruang rehat dan kehadiran Nolito boleh membawa impak positif kepada permainan Sterling.

Bahagian tengah dan sayap City sudah mendapat muka baharu. Bahagian pertahanan, penjaga gol dan penyerang pula masih menjadi topik panas di media masa dan sosial. Dengan pemergian Martin Demichelis, City kini kekurangan seorang pemain bek tengah. 

Jadi rasanya City memang perlu memperkuatkan bahagian itu memandangkan Eliaquim Mangala kurang konsisten dalam persembahan beliau meninggalkan hanya Vincent Kompany dan Nicolas Otamendi sebagai bek tengah senior dalam pasukan. 

Guardiola yang meminati pemain bek tengah yang selesa mengawal bola boleh membawa Jason Denayer mengisi ruang kosong itu tetapi pengalaman mungkin menjadi isu. Kini City dikaitkan dengan John Stones dan Leonardo Bonucci. Kedua-duanya dinilaikan sekitar £50 juta. 

Seorang berusia 22 tahun, seorang lagi 29 tahun. Di atas kertas Stones dilihat sebagai calon yang lebih berbaloi kerana usia yang lebih muda manakala Bonucci pula sudah terbukti sebagai pemain berpengalaman bersama pasukan juara. 

Satu lagi faktor yang menyebelahi Stones ialah status beliau sebagai pemain 'homegrown' dan kehendak beliau sendiri yang mahu menyertai City berbanding dengan Bonucci yang dilihat sangat setia dengan Juventus.

Bek kiri dan kanan juga menjadi kerisauan para peminat. Faktor usia dan prestasi menjadi tanda tanya. Adakah Pablo Zabaleta, Bacary Sagna, Gael Clichy dan Aleksandar Kolarov mampu memenuhi kehendak Guardiola yang mahu pemain bek sisi sering naik ke atas membantu serangan? 

Setakat ini City hanya dikaitkan dengan Bruno Peres (bek kanan) dan Ricardo Rodriguez (bek kiri). Namun belum ada cerita serius berkenaan kedua-dua pemain tersebut. Lagipun Zabaleta dan Kolarov masih bergelar pemain City walaupun ada cerita mereka masing-masing sudah bersetuju menyertai AS Roma dan Besiktas.

Daripada menjual mereka berdua dan berbelanja besar mencari pengganti rasanya lebih bagus jika ruang diberikan kepada Pablo Maffeo dan Angelino untuk menimba pengalaman di 2 posisi ini. Angelino digembar-gembur memiliki kaki kiri yang lebih hebat daripada Kolarov. Jadi inilah peluang untuk membuktikannya di pentas liga paling popular dunia.

Semenjak Guardiola diumumkan sebagai pengurus baharu City, tempat Joe Hart menjadi topik hangat. Guardiola dikatakan kurang yakin dengan persembahan Hart dan Hart dilihat tidak mampu membawa peranan penjaga gol agresif yang dimahukan Guardiola. 

Penjaga gol kedua City, Willy Caballero bukanlah pesaing yang hebat. Biarpun beliau menjadi wira di perlawanan akhir Piala Liga musim lalu, terpaksa diakui Caballero bukanlah penjaga gol bertaraf dunia untuk menjaga gawang City jika mereka serius dalam mengejar gelaran juara. 

Ramai sekali penjaga gol yang telah dikaitkan dengan City tetapi yang paling berkemungkinan besar akan menyertai City ialah penjaga gol Barcelona, Claudio Bravo. Bravo juga tua seperti Caballero tapi beliau terbukti sebagai penjaga gol yang hebat dan boleh memberi saingan kepada Hart.

Beralih ke perbincangan posisi penyerang. Posisi yang kini menjadi milik mutlak Sergio Aguero itu perlu diperkukuhkan dengan pemain baru lebih-lebih lagi Wilfried Bony mungkin terlibat dalam urusan perpindahan John Stones ke City. Pemain muda Jerman, Leroy Sane dilihat sebagai pengganti sesuai.

City dikatakan sedang berurusan dengan Schalke berkenaan perpindahan Sane ke City walaubagaimanapun City mungkin terpaksa bertanding dengan Bayern Munich untuk mendapatkan pemain tersebut.

Andai gagal mungkin tidak membawa masalah kepada Guardiola yang lebih meminati penyerang yang boleh bermain sebagai ‘9 Palsu’ mempunyai ramai nama yang boleh bermain di posisi tersebut seperti Nolito, Kelechi Iheanacho, Raheem Sterling dan Kevin De Bruyne. Dari senarai pemain muda City memiliki Patrick Roberts dan Enes Unal yang masing-masing menyinar sepanjang tempoh pinjaman mereka musim lalu.

Guardiola kini masih menilai kebolehan yang dimiliki skuad beliau dan tidak bertindak terburu-buru membeli pemain baharu namun dari penilaian ringkas ke atas skuad City, buat masa ini mereka memang memerlukan seorang penjaga gol dan seorang bek tengah baharu jika mahu mencabar kejuaraan di peringkat tempatan dan benua. 

Skuad akademi dilihat boleh memberi sokongan kepada skuad senior di posisi yang lain. Jadi jangkakan 2-3 nama baharu yang bakal menyarung jersi biru langit Manchester nanti. Berikut adalah jangkaan skuad terkuat Manchester City saya. Bagaimana pula dengan anda?

* Perlawanan persahabatan pramusim 2016/17 pertama akan berlangsung di Allianz Arena menentang Bayern Munich pada jam 8.30 waktu tempatan Jerman, Rabu, 20 Julai bersamaan pukul 2.30 pagi Khamis, 21 Julai waktu Malaysia. Siaran langsung di Astro saluran 810/831. Kami akan membawa liputan langsung perlawanan di akaun Twitter Bahasa Melayu/Malaysia kami di @ManCityMAS .



Untuk bacaan lanjut: 

Ketahui lima perkara utama kembalinya Pep ke Munich di pautan ini

Tonton video terakhir sebelum skuad terbang ke Munich di sini

Lihat galeri foto latihan terakhir Pep Guardiola sebelum menentang Bayern di sini

Ketahui pertalian hubungan pemain dan pengurus yang pernah bersama Bayern dan City di sini

Saksikan dan ketahui lima gol terhebat dihasilkan oleh City semasa pramusim di sini

Imbas kembali 10 detik terindah perlawanan persahabatan City yang lalu di sini

Blog Peminat

Bulan Biru: Selamat Datang Pep!

Wawancara Peminat

Belasungkawa: Yus Jambu (1976-2015)

Berita kematian penghibur dan pelawak terkenal tanahair, Yus Jambu atau nama sebenarnya Yussry bin Edoo telah mengejutkan kita semua dan terasa satu kehilangan besar.

Wawancara terakhir bersama duta selebiriti Manchester Malaysia pada 28 Mac 2015 sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir pada 30 November 2015... Al Fatihah.

Berita Kelab Peminat

Trofi-trofi kemenangan City di Malaysia!

Pada 25-26 Oktober lalu, Dashing telah membawa trofi Liga Perdana Inggeris dan Capital One Cup ke Sunway Pyramid, Kuala Lumpur untuk ditunjukkan secara dekat buat para penyokong Manchester City di Malaysia.

Para peminat Man City di Malaysia berpeluang melihat dan bergambar dengan piala Liga Perdana Inggeris dan Piala Capital One yang dibawa ke Kuala Lumpur, Malaysia.