quote linkedin dugout

Wawancara Peminat

Video 1 Galeri Foto

Shuib Sepahtu: Laughter is a good medicine!

Sepahtu tidak perlu diperkenalkan lagi kepada peminat hiburan tanahair dengan gandingan Jep dan Shuib. Kami sempat mewawancara Shuib secara eksklusif yang menjadi duta selebriti Manchester City di Malaysia.

Shuib atau nama sebenarnya Shahmira bin Muhammad, 28, mula mencipta nama di bidang lawak jenaka dan mempunyai ramai pengikutnya tersendiri. Anak kelahiran Johor yang bahagia bersama dengan isteri tersayang, artis Siti Sarah dengan anugerah dua orang cahaya mata, turut sibuk dengan aktiviti lakonan dan perniagaan sendiri.

Sebagai pembuka kata, terima kasih kerana meluangkan masa untuk berkongsi bersama kami dengan para peminat Man City..

Terima kasih kembali.

Boleh Shuib cerita serba ringkas bagaimana mulanya timbul minat dan seterusnya mencipta nama dalam bidang lawak jenaka di Malaysia?

Secara jujur, cita-cita saya ingin menjadi seorang artis dan mula mencuba bakat saya tahun 2008.  Ketika itu saya juga berhasrat untuk membantu keluarga saya yang susah dan ingin merasa hidup senang. Oleh kerana saya tidak mempunyai kelebihan dari segi kelulusan, saya pernah bekerja kilang dan kemudian saya terfikir untuk mencari jalan keluar, ditambah keinginan menjadi artis.

Ia sesuatu yang mustahil pada mulanya kerana saya sendiri tidak pernah bertemu mata dengan mana-mana artis. Jadi saya bertekad untuk mencuba  bakat nyanyian dengan memasuki ‘Akademi Fantasia’ setelah melihat kejayaan Mawi (Asmawi Ani) yang juga rakan baik saya. Namun setelah mencuba beberapa tahun dan tidak terpilih, saya merasakan tuah saya bukan sebagai penyanyi.

Kemudian saya menyertai ‘Sinaran Pasport’ setelah diajak oleh Jep yang saya baru kenali untuk audisyen dengan gabungan bersama Mamat menubuhkan Kumpulan Sepah. Alhamdulillah kami mendapat kad hijau, dan saya turut muncul dalam rancangan Melodi, dan merasakan ketika itu impian saya menjadi seorang artis kian tercapai. Namun program itu terpaksa dibatalkan dan kami kemudian bersepakat menyertai rancangan ‘Raja Lawak 3’ tahun 2009, dan dari situlah bermula segalanya apabila kami menang dan mula dikenali.

Kumpulan Sepahtu kini mula dikenali ramai dengan humor yang dekat dengan penonton, namun  ia turut mendapat pujian kerana ia bukan sahaja mempersembahkan lawak kosong tapi menyelitkan unsur-unsur nasihat dan moral, boleh Shuib ulas…

Setiap kali saya dan Jep sertai pertandingan, kami sasarkan untuk menang.  Alhamdulilah setakat ini kami menang Raja Lawak 3, Maharaja Lawak dan juga Maharaja Lawak Mega. Berbalik kepada mesej yang kami cuba sampaikan dari persembahan kami, walaupun menerima banyak kritikan yang isi lawak kami ‘lawak kampung’ ada unsur keagamaan,  namun kami tetap ingin kekalkan identiti tersebut. Oleh kerana saya asal orang kampung, jadi lawak saya berakar umbi dari nilai-nilai murni masyarakat kampung.  Walaupun banyak ‘lawak kosong’ mendapat sambutan dibandingkan isi lawak saya dengan ‘barang-barang kampung’, saya tetap dengan pendekatan tersebut kerana saya memang orang kampung, dan masyarakat Malaysia juga dekat dengan kampung. Buktinya, setiap kali hari raya (lebaran) masih ramai tetap ingin balik kampung!

Selain mencipta nama di bidang lawak jenaka, Shuib juga bergiat aktif dalam bidang lakonan dengan muncul dalam drama bersiri, telemovie dan filem, jadi tercapai juga hasrat Shuib untuk menjadi seorang artis serba boleh…

Alhamdulillah, saya gunakan platfom sedia ada untuk menceburkan diri dalam bidang lakonan. Setakat ini saya telah muncul dalam beberapa telemovie seperti ‘Bujang Sepah Silalitamplom', 'Burger Layan Diri', 'Ibu Mee Segera' dan juga berlakon dalam tujuh filem iaitu ‘Sepahtu the Movie’ dengan kutipan RM2.12 juta, 'Oh Mak Kau (O.M.K)', 'Mael Lambong The Movie', 'Tycoon', 'Rock Oo: Rimba Bara Kembali' arahan Mamat Khalid dan satu lagi filem arahannya yang siap penggambaran dua tahun lalu, 'Amir Dan Loqman Pergi Ke Laut' yang akan ditayangkan tak lama lagi, dan' Usin UFO'  yang masih menunggu tayangan. Jadi, dengan menjadi pelawak, kini saya turut berpeluang dapat menjadi penyanyi dan pelakon yang saya cita-citakan dahulu.

 

Berbalik kepada Kumpulan Sepah yang berpecah kemudian ditubuhkan Sepahtu hanya selepas tiga tahun bersama, apa komen Shuib?

Isu ini sudah agak lama, namun bagi saya sudah tidak ada rezeki. Hasrat kami untuk kekal lama namun sudah takdir sekejap sahaja, namun banyak kumpulan termasuk kumpulan penyanyi berpecah dan kemudian bersatu kembali. Namun hubungan kami dengan Mamat masih baik seperti biasa.

Kami difahamkan selain terlibat dengan dunia artis, Shuib juga aktif dalam bidang perniagaan..

Ya, seperti ramai yang sudah maklum saya memulakan dobi setahun lebih ‘Aqua Nano’ di Setia Alam, dan kini saya sedang mengusahakan dua syarikat iaitu pemasaran dan juga kopi jenama ‘Kopi Shuib’ yang baik  untuk kesuburan lelaki. Saya sendiri menjadi modelnya dengan anugerah dua cahaya mata buah jantung saya, Uwais Alqarni dan Dzhahira Talita Zahra.

Ok, berbalik kepada tajuk utama perbualan kita berkenaan Manchester City, tahniah kerana menjadi sebahagian keluarga besar the Citizens dan terima kasih kerana mendukung City. Jadi sejak bila Shuib mula menyokong City?

Secara jujur saya merupakan penyokong tegar Manchester United hampir selama 20 tahun. Namun mulai tahun 2012 saya beralih arah menyokong Man City.  Hakikatnya saya tidak bermain bola, tapi saya suka menonton perlawanan bolasepak, dan saya gemar menyaksikan cara Manchester United bermain. Saya menyokong Man United kerana kehebatan mereka bermain ketika itu. Kemudian saya mula minat bermain bola hanya baru-baru ini sahaja dengan rakan-rakan artis dan kenalan. Tentang saya beralih dari pasukan merah kepada biru Manchester adalah disebabkan seorang pemain, iaitu Mario Balotelli.

Embedded image permalink

Dia seorang pemain lain dari yang lain dengan karakternya tersendiri. Saya turut memakai jersi bernombor 45 sebagaimana Balotelli dan tidak pernah menukar nombor jersi tersebut setiap kali bermain bola. Jadi walaupun beliau sudah meninggalkan City, namun oleh kerana diperkenalkan Balotelli, saya terus terpikat dengan Man City.  Corak permainan City yang menarik terus menambat hati saya, berbanding Man United yang tidak seperti dahulu lagi (maaf buat para peminat saya yang menyokong Man United).

Embedded image permalink

Selain Manchester City, pasukan bolasepak tempatan dan luar negara lain yang Shuib sokong?

Di peringkat tempatan sudah tentu saya menyokong JDT dan tidak akan melepaskan peluang menonton perlawanan setiap kali pulang ke Johor. Di peringkat Eropah selain Man City, saya sokong Real Madrid.

Di mana Shuib biasa menonton dan mengikuti perlawanan Manchester City?

Saya memang sibuk dengan urusan kerjaya dan bisnis, ketika saya mempunyai masa luang di rumah saya banyak terlepas perlawanan Manchester City kerana biasa ia bertembung dengan perlawanan Manchester United.

Menjelang Piala Dunia lagi kurang seminggu, pasukan mana yang Shuib sokong untuk menang?

Dari dahulu lagi saya memang menyokong pasukan Itali dan saya harap mereka berpeluang untuk menjadi juara kali ini.

Boleh Shuib berikan, tiga perkataan yang menggambarkan Man City?

Sky Blue, Balotelli, dan pasukan yang susah untuk dikalahkan.

Sebagai kata-kata terakhir, apa pesanan Shuib untuk Manchester City, para penyokong Man City dan peminat Shuib sendiri..

Untuk Manchester City, belilah semula Balotelli! Untuk para penyokong Manchester City, teruskan menyokong Man City dan jangan jadi lalang dan tukar-tukar mengikut orang tapi atas keinginan sendiri. Untuk para peminat saya sendiri teruskan menyokong saya dalam apa jua, Jep dan Sepahtu, serta terus memberi sokongan kepada industri lawak tanahair, kerana ‘laughter is a good medicine’.

Video rancangan Maharaja Lawak Mega 2013 yang dijuarai Sepahtu.

Berita Kelab Peminat

Salam Aidilfitri buat semua

Bersempena kedatangan 1 Syawal 1437H, Manchester City ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua kaum Muslimin yang menyambutnya.

Previu dan Reviu Peminat

Dari Eropah kembali ke England

Revolusi Pep Guardiola terus menyinar tika Barcelona tersungkur di bumi Manchester. Kelab yang sentiasa dipandang kerdil akhirnya berjaya menumbangkan salah satu gergasi Eropah.

Blog Peminat

Kerana Ayah ku kenali City

Image missing

City yang dulu bagai melukut di tepi gantang di tanahair, kini semakin dikenali dan dapat berdiri gah sama tinggi dan menyaingi kelab-kelab besar lain di England dan Eropah.