quote linkedin dugout

Blog Peminat

Video 1 Galeri Foto

Kerana Ayah ku kenali City

Image missing

Image missing

City yang dulu bagai melukut di tepi gantang di tanahair, kini semakin dikenali dan dapat berdiri gah sama tinggi dan menyaingi kelab-kelab besar lain di England dan Eropah.

Ke mana tumpahnya kuah...

Jika ada yang bertanya bilakah saya mula meminati City 10 tahun lepas, saya akan menyalahkan bapa saya kerana membesarkan saya sebagai seorang penyokong City di kala kelab tersebut melalui zaman kegelapan. Tetapi hari ini, saya hanya mampu berterima kasih kepada beliau. 

Bak kata pepatah, “Father knows best.” (Walaupun saya pasti dia sendiri pun tidak menyangka nasib City akan berubah sebegini rupa pada hari ini.)

Perjalanan saya sebagai seorang penyokong City bermula pada tahun 1990-an semasa saya dibesarkan di Subang Jaya, Selangor. Kadar tukaran matawang masih lagi ‘sihat’ pada ketika itu, dan bapa saya sering membelikan kami dua beradik majalah 'Shoot' dan 'Match' yang diterbangkan dari United Kingdom ke kedai buku berhampiran setiap dua minggu.

Di balik mukasurat majalah-majalah inilah saya mula dijinakkan dengan para pemain City ketika itu seperti Uwe Rosler, Georgi Kinkladze dan Niall Quinn. Mungkin itu agenda bapa agar saya tidak ‘terjebak’ di dalam menyokong pasukan-pasukan yang lebih ternama ketika itu seperti Liverpool, Arsenal, dan Newcastle. Di situlah barangkali titik permulaan saya sebagai seorang penyokong City. 


Tapi hanya mampu baca di majalah sahaja kerana pada masa itu jugalah City terperosok di liga bawahan, turun dan naik tidak lebih daripada Divisyen 1 dan Divisyen 2. 

Setiap pagi Ahad, saya akan membelek muka belakang surat khabar kerana memang ada di situ keputusan liga-liga Eropah termasuk liga-liga Inggeris pelbagai divisyen selain Liga Perdana Inggeris.

Cemburu juga saya melihat rakan-rakan sekolah dapat menonton pasukan kegemaran masing-masing di televisyen setiap minggu. Namun begitu, pengalaman menyokong City di zaman kegelapan dan kesuraman ini jugalah yang membuatkan saya lebih menghargai akan perkembangan City pada hari ini.

Bintang Penarik

Nama Georgi Kinkladze sudah tentu terpahat di memori para penyokong City pada era 1990-an. Mengapa dia memilih untuk terus bersama City pada ketika itu saya pun tidak tahu. Dia bagaikan bintang yang bersinar di kalangan para pemain yang rata-ratanya sederhana.

Mungkin suasana di Maine Road membuatkan dia jatuh cinta dengan City. Buat yang tidak pernah mengenali beliau, taip sahaja namanya di YouTube dan bersedialah untuk dihiburkan oleh bintang asal Georgia ini.

Image result for georgi kinkladze city

Kalau di kalangan pada pemain di dalam skuad sekarang, pemain kegemaran saya adalah Kevin De Bruyne. Beliau merupakan pemain yang cukup sempurna dari segi keupayaan, kebolehan, dan juga stamina. 

Saya rasa City cukup bernasib baik mempunyai pemain yang boleh membaca permainan sebaik Kevin De Bruyne. Mungkin Jose Mourinho seorang sahaja yang tidak nampak keistimewaan beliau.

Image result for de bruyne celebrate city 2016/17

Pengalaman Terindah

Pada tahun 2012, selepas City memenangi Liga Perdana Inggeris buat pertama kali setelah menanti selama 44 tahun, Roberto Mancini dan skuad beliau mengadakan lawatan ke Malaysia dan saya diberi peluang untuk berjumpa para pemain selaku ahli Manchester City Official Supporters Club (OSC) cawangan Malaysia.

Antara yang hadir ada hari itu adalah Mike Summerbee, legenda City yang bermain pada era 60-an dan 70-an. Pada zaman itu jugalah bapa saya mula mengikuti City kerana City merupakan antara pasukan terkuat di England dan juga Eropah pada ketika itu.

Oleh itu, pengalaman yang tidak dapat saya lupakan adalah menemukan bapa saya dengan Mike Summerbee pada hari tersebut. Mungkin kerana dia sendiri pun tidak pernah menyangka yang dia akan bertemu dengan beliau lebih 40 tahun selepas melihat City beraksi di kaca televisyen hitam putih.

Sementara saya sebagai generasi baru  peminat City merasa bertuah dipertemukan dengan kapten Vincent Kompany!

MCFC OSC Malaysia

Saya mula mengenali MCFC OSC pada awal 2004 kerana pada ketika itu, Encik Shahrin, Naib Presiden kelab kami sering menghantar nombor telefon beliau ke surat khabar 'The Star' untuk mencari penyokong yang lain. Saya sendiri pun terkejut bila mengetahui kewujudan kelab peminat tersebut. 

Pada ketika itu, kalau ternampak sesiapa memakai jersi City di tengah jalan pun sudah pasti saya akan tegur terus, selalunya para pelancong dari United Kingdom.

Saya ditemukan dengan ahli-ahli kelab MCFC OSC di Restoran Safiz di Sri Hartamas dan seperti yang disangka, kebanyakan ahli adalah sebaya dengan bapa saya. Yang paling istimewa adalah kehadiran anak-anak kepada golongan bapa tersebut yang mungkin tiada pilihan lain selain menyokong City pada ketika itu. Ada juga yang senasib dengan saya rupanya.

Di Restoran Safiz itu pun memang ada seorang pelayan yang telah kami hadiahkan jersi City kerana dia sering menukar saluran Astro kepada stesyen yang menayangkan perlawanan City. Maklumlah, perlawanan City jarang sekali disiarkan secara langsung ketika itu. 

Kami menggelar beliau ‘Anelka’, dan seperti saya, mungkin dia pun rasa bertuah sekarang kerana dibentuk menjadi serorang penyokong City oleh kelab kami.

Jodoh Pep dengan City

Kehadiran Pep Guardiola di Manchester, pada saya, bagaikan jodoh yang akhirnya bertemu setelah sekian lama. Saya rasa City amat bertuah kerana berjaya mendapatkan khidmat beliau yang telah berguru dengan legenda bolasepak dunia, Johan Cruyff. 

Falsafah yang dibawa oleh Pep ke Etihad Stadium, pada pendapat saya, bakal menggegarkan Liga Perdana Inggeris.

Image result for pep guardiola celebrate city

Namun begitu, mungkin terlalu awal untuk kita ramalkan kejayaan yang dominan pada musim pertama untuk Pep. Selepas 10 kemenangan, kita terkandas di tangan Spurs baru-baru ini. 

Masih banyak lagi pasukan-pasukan handalan yang bakal menguji kebolehan para pemain kita. Jadi, rata-ratanya saya boleh kata pasukan sekarang ini masih lagi 'work in progress'.

Sebagai seorang penyokong yang agak realistik, saya rasa City akan memenangi Piala FA dan Piala Liga manakala di Liga Perdana Inggeris, kalau dapat top three pun saya tiada sebarang komplen. Sementara di Liga Juara-Juara Eropah, City akan layak sampai ke separuh akhir.  Namun terpulanglah kepada Pep kalau dia ingin menang lebih daripada itu dan pergi jauh lagi! 

Jika dahulu Ayah yang memperkenalkan City kepada saya, suatu hari nanti mungkin saya tidak perlu lagi memperkenalkan City kepada anak saya kerana City sudahpun dikenali. Namun sejarah City bukannya sentiasa indah dengan hamparan permaidani merah dan mereka yang betul-betul merasai pahit maung sebagai Citizen sahaja mengetahuinya.

* Asrif Yusoff adalah ahli jawatankuasa MCFC OSC (Cawangan Malaysia) bahagian media dan media sosial. Untuk maklumat lanjut MCFC OSC Malaysia sila lawati laman Facebook di MCFCmy atau Twitter di @MCFCmy.