quote linkedin dugout

Blog Peminat

Video 1 Galeri Foto

Bulan Biru: Selamat Datang Pep!

“Sheikh Mansour went to Germany in his brand new Tesla, Brought us back a manager, Josep Guardiola!”

“Selamat datang ke Manchester Pep Guardiola! Pengurus yang dinanti-nanti oleh setiap peminat Manchester City semenjak pengumuman perlantikan beliau Januari lalu. Begitu banyak sekali sebab mengapa peminat City begitu teruja sekali menanti kedatangan Guardiola. 

Secara statistik Guardiola mencatatkan purata 2.38 mata bagi setiap perlawanan. Rekod peratusan menang beliau? 74.3%! Pulangan yang hebat. Kalau dicongak secara kasar dengan purata mata sebegitu City boleh menamatkan kempen liga bersama 90 mata. Cukup untuk bergelar juara. Sepanjang karier beliau sebagai pengurus, Guardiola menamatkan musim dengan 6 gelaran juara liga daripada 7 musim.

Melalui taktik tiki-taka, Guardiola akan membawa falsafah permainan menarik, menyerang secara aktif dan penekanan kepada kesempurnaan teknik para pemain. Taktik tiki-taka sudah terbukti berjaya membawa kejayaan kepada Barcelona. 

Guardiola kemudian terus menyerapkan semangat 'tiki-taka' walaupun terma itu tidak disukainya, kepada skuad Bayern Munich dan ia membuahkan hasil dengan 3 gelaran Bundesliga berturut-turut. Setakat ini 21 gelaran juara sudah dikumpul Guardiola sebagai pengurus. Adakah falsafah bolasepak yang hebat ini akan dapat menakluk England nanti?

Sebenarnya ini bukan kali pertama taktik 'tiki-taka' dimainkan di Liga Perdana Inggeris. Pasukan Arsenal di musim 2003/04 sebenarnya menggunakan satu variasi tiki-taka dan dengan pendekatan itu merangkul kejuaraan liga tanpa mencatatkan sebarang kekalahan sepanjang musim. Tetapi itulah kali terakhir Arsenal berjaya menjulang gelaran liga. Jika tiki-taka itu begitu hebat Arsenal sepatutnya tidak berdepan sebarang masalah untuk meneruskan rentetan kejuaraan.

Ini kerana tiki-taka ada penawarnya dan orang yang memegang penawar itu namanya Jose Mourinho. Pada musim pertama Mourinho di EPL, beliau menamatkan legasi tiki-taka pasukan The Invincibles dan merampas gelaran juara daripada Arsenal.

Agak menarik kerana jika dikaji, Guardiola meninggalkan Barcelona di akhir musim 2011/12 selepas Real Madrid di bawah kendalian Mourinho ketika itu merampas gelaran juara La Liga. Sebelum itu Guardiola dan Barcelona selesa menguasai La Liga dengan gelaran hatrik La Liga. 

Selepas berehat satu musim, Guardiola berpindah ke Bayern Munich dan tanpa Mourinho di Bundesliga, Guardiola kembali selesa untuk mencatatkan hatrik gelaran juara liga di Jerman pula.

Kali ini 2 seteru ini bakal bertemu lagi tetapi kali ini ianya bukanlah setakat pertembungan 2 pakar taktikal kerana mereka akan bakal terlibat di dalam pertembungan derbi Manchester. Dua kelab bersama 2 falsafah bolasepak yang berada di atas spektrum bertentangan. 

Mourinho tidak banyak bergantung kepada posesi bola sebalik lebih suka mengeksploitasi kesilapan dan kelemahan lawan. Beliau pernah meletakkan 7 kunci untuk memenangi perlawanan:

  1. Perlawanan dimenangi pasukan yang kurang membuat kesilapan.
  2. Kelebihan di tangan pasukan yang memaksa lawan membuat kesilapan.
  3. Berbanding mengatasi kekuatan pihak lawan adalah lebih baik menggalakkan kesilapan mereka.
  4. Pihak yang memegang bola lebih kerap melakukan kesilapan.
  5. Pihak yang kehilangan posesi kurang kebarangkalian melakukan kesilapan.
  6. Pihak yang memegang bola berada dalam ketakutan.
  7. Maka dengan itu, pihak yang tidak memegang bola adalah lebih kuat.

Begitu berbeza sekali dengan pegangan Guardiola yang menekankan konsep 3P:

  1. Permainan
  2. Posesi
  3. Posisi

Guardiola lebih gemarkan bola berada di dalam posesi pasukan beliau dan menekan pihak lawan di kawasan mereka sendiri sehinggalah gawang mereka berjaya dibolosi. Buat masa ini statistik lebih memihak kepada Guardiola. Sebanyak 15 kali 2 pengurus ini bertemu, Guardiola menang 7 kali, Mourinho menang 3 kali dan mereka berkongsi mata 5 kali.

Guardiola gemar menggunakan formasi menyerang sama ada 4-3-3, 3-4-3, 3-4-2-1 dan malahan kadang-kala menggunakan 2-5-3. Dengan penekanan kepada aspek serangan tidak hairanlah Manchester City kini dikaitkan dengan begitu ramai pemain tengah dan penyerang seperti Nolito, Pierre-Emerick Aubameyang, Neymar, Leroy Sane, Tony Kroos, Andros Townsend, Marlos Moreno, Julian Brandt dan Gabriel Jesus. 

Pemain pertahanan yang dikaitkan dengan City setakat ini hanyalah John Stones dan Aymeric Laporte. Laporte sudah memberi komitmen untuk bersama Atletic Bilbao maka tinggallah Stones menjadi sasaran untuk mengukuhkan barisan pertahanan City. 

Bersama tradisi ‘total football’ yang menjadi acuan taktik tiki-taka Guardiola, beliau mahu barisan pertahanan bermain setinggi mungkin dan ini memerlukan penjaga gol membawa peranan sebagai sweeper seperti yang dimainkan Manuel Neuer di Bayern Munich.

Ini sedikit sebanyak menggugat kekebalan Joe Hart sebagai penjaga gol utama City kerana walaupun Hart terbukti seorang penjaga gol yang hebat tetapi Hart lebih cenderung kepada penjaga gol klasikal dan ditambah pula dengan kelemahan Hart dalam pengagihan bola. Jadi nama-nama penjaga gol seperti Geronimo Rulli dan Ederson mula muncul sebagai bakal pencabar Hart.

Buat masa ini Ilkay Gundogan da Nolito mengisi senarai pembelian rasmi City di musim baru. Namun dijangka lebih ramai akan menyusul kerana salah satu cabaran Guardiola di City ialah umur skuad yang semakin meningkat. 

Yaya Toure, Bacary Sagna, Pablo Zabaleta, Fernandinho, Gael Clichy, Aleksandar Kolarov, Vincent Kompany, Jesus Navas dan David Silva semuanya sudah mencecah umur 30-an.

Selain meremajakan skuad dengan pembelian pemain baru, Guardiola boleh mencari penyelesaian masalah penuaan skuad City ini dari sumber dalaman. Akademi City sudah membuat banyak pencapaian membanggakan kebelakangan ini dengan kejuaraan di pelbagai peringkat umur. Pasukan Bawah-16 menghabiskan musim tanpa kekalahan dan menjaringkan lebih daripada 100 gol. 

Begitu banyak prospek dan bakat yang boleh dicungkil Guardiola. Polisi Guardiola yang gemar mengetengahkan pemain muda mungkin melihat kemunculan pemain seperti Patrick Roberts, Enes Unal, Jason Denayer, David Faupala, Pablo Maffeo, Tosin Adarabioyo, Bersant Celina, Angelino, dan Manuel Garcia dalam skuad senior City musim depan.

Guardiola selalu dipuji di atas kualiti pengurusan individu beliau. Beliau sebelum ini sudah berjaya menggilap ramai pemain untuk mencapai potensi sebenar mereka. 

Jadi menjadi harapan kepada penyokong City untuk melihat Raheem Sterling dan Eliaquim Mangala mendapat sentuhan Guardiola dan memenuhi gelaran mereka sebagai pemain British termahal dan pertahanan termahal EPL. 

Baru-baru ini Guardiola membuat panggilan peribadi kepada Raheem Sterling memberi sokongan selepas pemain itu dikritik teruk. Dengan sentuhan insani seperti ini semestinya para pemain City akan mendapat keyakinan baru dan lebih percaya kepada keupayaan diri masing-masing.

Hasilnya nanti diharap skuad Manchester City akan berwajah baru bukan sekadar pada senarai skuad tetapi juga pada semangat dan tradisi lalu diterjemahkan kepada pemain-pemain yang bermain penuh bangga dan berjuang tanpa kenal erti putus asa.

Sekali lagi selamat datang ke Manchester, Pep Guardiola!

Wawancara Peminat

Belasungkawa: Yus Jambu (1976-2015)

Berita kematian penghibur dan pelawak terkenal tanahair, Yus Jambu atau nama sebenarnya Yussry bin Edoo telah mengejutkan kita semua dan terasa satu kehilangan besar.

Wawancara terakhir bersama duta selebiriti Manchester Malaysia pada 28 Mac 2015 sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir pada 30 November 2015... Al Fatihah.

Berita Kelab Peminat

Trofi-trofi kemenangan City di Malaysia!

Pada 25-26 Oktober lalu, Dashing telah membawa trofi Liga Perdana Inggeris dan Capital One Cup ke Sunway Pyramid, Kuala Lumpur untuk ditunjukkan secara dekat buat para penyokong Manchester City di Malaysia.

Para peminat Man City di Malaysia berpeluang melihat dan bergambar dengan piala Liga Perdana Inggeris dan Piala Capital One yang dibawa ke Kuala Lumpur, Malaysia.

Wawancara Peminat

Taleeb Mizad: City tetap nombor satu!

Taleeb yang menjadi duta selebriti rasmi Manchester City Malaysia sempat meluangkan masa untuk diwawancara secara eksklusif oleh wakil media Bahasa Melayu MCFC di Etihad.

Wawancara khas bersama duta selebriti Man City Malaysia, penyanyi Islamick, Taleeb Mizad